Hi! Okey, ni adalah cerpen yang mula-mula sekali saya buat. Dah lama. Masa zaman belajar lagi. Dan setahun lepas tu baru cuba hantar di Penulisan2u.com. Alhamdulillah masa tu ada komen positif. Tapi lepas daripada tu lama berhenti menulis. Tak sempat fikir pun sebab terikat dengan student's life tambah-tambah masa tu aktif dengan segala bagai <buat-buat aktif yer :P >.
*********************
Catatan Hati Nurul Iman
24 Oktober 2006 / 1 Syawal 1427
"...bergenang air mata ini
sebak sudah namun tidak jatuh juga..
..menangis cumalah hati ku
senyum tawa pada duduk ku duka lara..."
Apa yang mampu aku katakan lagi, ianya kehendak Ilahi. Terpaksalah aku redha dengan apa yang berlaku. Lemah semangat ku melihat mereka pergi serentak di depan mata ku. Tidak sanggup rasanya melihat jenazah dua insan yang sangat dikasihi dikebumikan di depan mata di saat takbir kemenangan bergema di merata-rata.
Tak ku duga petang semalam ialah petang terakhir aku bersama mereka. Entah dari mana datangnya lori yang merempuh kereta kami itu. Sedar-sedar sahaja aku sudah berada di hospital. Tika itu takbir dan tahmid dilaungkan sekitar pelusuk dunia, tika umat Islam menadah kesyukuran atas kemenangan selesai melengkapkan satu daripada rukun Islam itu. Lain pula denganku. Bagai terhenti denyutan jantungku mendengar khabaran ‘pemergian’ umi dan abi.
Saat ketika tanganku meramas dan menggenggam tanah kuburan umi dan abi yang masih merah, lidah ku tiba-tiba sahaja bagaikan bertulang. Keras, tidak mampu melafazkan apa-apa walau sepatah. Bagai hendak pecah hati ku menahan sebak dan kesedihan yang bersarang.
Aku mengusap perlahan tangan kanan ku yang masih berbalut sambil membuang pandang pada orang ramai yang mula beransur pulang. Kak Jannah mendakap aku erat dari belakang. Esak tangisnya jelas kedengaran di gegendang telinga ku, namun aku hanya mampu menangkap beberapa perkataan saja. "Im...ya Allah, kenapa jadi begini? Kenapa ketika ini?..”
Aku tak tahu apa yang harus aku katakan...benarkah ini semua? Ku jirus perlahan-lahan air bunga ke pusara umi dan abi. Aku merenung melihat pusara umi dan abi. Aku cuba tersenyum. "Kak, jom kita balik."
_______________________________
Catatan Hati Nurul Jannah
25 Oktober 2006 / 2 Syawal 1427
Air mata ku jatuh lagi. Dalam aku cuba menahan kepiluan di hati, bila aku pandang Iman, pasti hati ku terasa tewas kembali. Baru dua hari umi dan abi ‘pergi’ tapi aku seolah-olah sudah berputus asa.
Mana tidaknya, bila ditegur, ditanya...sepatah pun Iman tidak menjawab. Dia hanya melontarkan pandangannya ke luar jendela ke arah bintang-bintang yang bertaburan di langit. Seolah-olah sedang memikirkan suatu persoalan yang sangat berat. Jika di ajak berbual pula Iman akan beri macam-macam alasan untuk mengelak. Aku buntu. Hilang ketabahan dan kekuatan yang ku pertahankan demi Iman. Setiap kali aku menangis kesedihan bila melihat Iman begitu.
Bagaikan ada halilintar yang memanah masuk ke telinga ku ketika menjawab panggilan daripada pihak polis. Terkocoh-kocoh aku dan A’an berkejar ke hospital. Iman terbaring tidak sedarkan diri. Umi dan abi sudah keras bersemadi. Ayat yang pertama keluar dari mulut Im, "Umi dan abi mana kak? Diaorang tak apa-apa ke? Diaorang okey ke kak?" Luruh air mata ku menahan esak memberitahu khabar duka itu pada Iman. Iman tidak berkata apa-apa. Dia hanya mendiamkan diri dan meminta untuk pulang agar boleh merehatkan diri dan tidur dengan tenang. Reaksi Iman benar-benar mengejutkan dan memilukan.
Aku tahu, aku tidak boleh salahkan Iman. Dia menerima tamparan yang lebih hebat berbanding aku dan A’an. Dia melihat umi dan abi ‘pergi’ di depan matanya sendiri. Dia berada bersama mereka ketika kemalangan itu berlaku. Dia melihat sendiri apa yang berlaku. Dia merasa sendiri perasaan itu.
Mengenang pula kelalaian ku terhadap kehadiran dia sebagai adik dan darah dagingku sebelum ini, membuat aku bertambah sebak. Im... (air mata ku menitis lagi...)
_______________________________
Catatan Hati Ahmad Zakuan
28 Oktober 2006 / 5 Syawal 1427
Aku merenung Iman yang sedang nyenyak tidur. Aku belai rambutnya perlahan. Baru aku sedar, selama ini aku terlalu mengabaikan Iman. Mungkin kerana jarak umur yang agak jauh antara aku dan Iman menyebabkan aku rasa tak serasi dengannya. Memang ku akui, selama Iman belajar di Kuala Lumpur, aku dan Kak Jannah tidak pernah bertanya khabar pun padanya. Jika dia telefon, meminta pertolongan, kami akan suruh dia usaha sendiri. Ya, aku dan Kak Jannah memang tidak senang dengan kehadiran Iman sejak kecil lagi.
Iman sangat disayangi arwah umi dan abi. Dia juga sangat rapat dengan mereka. Mungkin kerana dia anak bongsu, 5 tahun pula tu jarak dengan ku sedangkan aku dan Kak Jannah hanya selang 1 tahun. Iman dikurniakan kelebihan yang lebih berbanding kami. Manis, wajah yang mulus dan cantik, lasak, bijak...segalanya ada pada Iman termasuklah budi pekerti yang tak mampu disanggah.
Kasihan Iman...sudah jadi begini baru aku dan Kak Jannah sedar kesilapan kami. Dia darah daging kami, tak wajar kami layan dia begitu. Namun Iman tak pernah kisah. Selalu memberi kejutan yang gembira kepada ku setiap kali hari istimewa ku termasuklah semasa hari konvokesyen ku.
Tanpa ku sedar, ada manik jernih yang menitis jatuh ke tangan ku. Im, janganlah begini. Tabahlah menerima suratan hidup. Aku cuba menahan esakan yang timbul. Menitis benda yang paling mahal bagi seorang lelaki. Keadaan Iman benar-benar mencabar kesedihan dan air mata ku.
Ku lihat Iman berpeluh, ku kuatkan putaran kipas siling di biliknya. Aku merenung wajahnya yang keletihan dan pakaiannya yang agak berdebu. Iman tidur agak awal tadi, tapi tiba-tiba saja dia bangun semasa malam menghampiri puncaknya. Bangun meluru ke pintu dan berlari pantas ke arah tanah perkuburan menuju ke pusara umi dan abi yang saling bersebelahan sambil memanggil umi dan abi. "Umi, Im datang mi! Abi, Im datang!" Aku dan Kak Jannah mengejar Im dengan hati yang penuh hiba. Kami pujuk dia pulang dan minta dia bersabar. Pada mulanya Im enggan, katanya umi dan abi mahu jumpanya. "Tadi umi dan abi datang jumpa Im. Diaorang rindukan Im, diaorang nak jumpa Im."
Apa yang menghibakan lagi, Iman langsung tidak menangis. Kami berdua pula yang pilu menahan air mata. Nadanya mendatar saja, seolah-olah dia tidak melakukan apa-apa.
Air mataku jatuh lagi. Esak ku tak tertahan. Im seolah-olah tidak dapat menerima hakikat akan pemergian umi dan abi. Aku buntu, apa yang harus aku lakukan? Aku yang patut aku buat?
_______________________________
Catatan Hati Nurul Iman
29 Oktober 2006 / 6 Syawal 1427
Semalam aku tidur. Aku mimpi umi dan abi datang jumpa aku. Wajah mereka kelihatan sungguh bersih dan menyejukkan. Kedua-duanya tersenyum manis pada ku. Dalam mimpi itu aku duduk berhadapan mengadap mereka. Sungguh aku rindu pada dua wajah itu. Dua wajah yang sangat aku kasihi. Dua hati yang sangat aku rindui. Umi dan abi tidak berkata apa-apa.
Tiba-tiba sahaja aku tersedar daripada tidur. Aku terkejut, aku jadi panik. Umi! Abi! Umi dan abi datang jumpa aku! Aku tahu mereka rindukan aku. Aku tahu mereka nak jumpa aku. Sepantas mungkin aku berlari menuju ke pusara mereka untuk berjumpa mereka. Aku tahu mereka sedang tunggu aku. Aku memeluk batu nisan umi dan abi. "Umi, Im datang mi! Abi, Im datang!" Tapi umi dan abi tidak menyahut. Tiba-tiba terasa ada orang memelukku dari belakang. Kak Jannah menangis. Aku termangu-mangu. Hairan, kenapa Kak Jannah menangis? Abang An juga memeluk ku erat. Kenapa? Aku bukan ke mana-mana. Aku hanya datang berjumpa umi dan abi.
Abang An memujuk aku pulang. "Jangan begini Im. Jangan hukum diri Im begini. Sabarlah, terimalah hakikat Im. Umi dan abi dah ‘pergi’" Hati ku enggan menerima. Aku tahu umi dan abi rindukan aku. Diaorang sendiri datang jumpa aku.
Akhirnya Abang An memapah aku pulang. Dan aku masih pelik, aku ada buat salahkah? Aku datang nak jumpa umi dan abi. Itu saja. Salahkah?
_______________________________
Catatan Hati Nurul Jannah
31 Oktober 2006 / 8 Syawal 1427
Hari ini Mak Lang datang menjenguk kami tiga beradik. Mak Lang bertanyakan keadaan Iman. Aku terdiam. Tak tahu apa yang harus aku katakan. Segalanya serba tak kena.
A’an tak ada di rumah. Katanya mahu mencari Hadi di Kampung Pinang. Kaunselor muda yang dikenalinya sejak di pengajian. Rakan sebiliknya ketika dua tahun terakhir di pusat pengajian. Mahu meminta ikhtiar daripada bapa saudara kepada kakak ipar Hadi tentang keadaan Iman.
Mak Lang ku bawa sendiri menjenguk Iman di biliknya. Langkah kami terhenti di pintu. Iman sedang membelek dan memeluk erat sepasang baju kurung. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak tetapi butir bicaranya tidak dapat kami dengar. Spontan aku sandarkan kepala ku pada bahu Mak Lang. Aku membelakangkan Iman. Tak mampu untuk terus melihat. Bimbang empangan air mata ku akan pecah lagi. Mak Lang mengusap perlahan belakang ku dan menyuruh aku banyakkan bersabar.
Aku kenal baju yang dipeluk Iman. Itu baju yang dibelinya bersama umi dan abi. Baju yang terakhir kenangan daripada umi dan abi. Baju yang dibeli penuh dengan harapan yang tinggi untuk bergembira bersama keluarga pada saat takbir digemakan bilal. Baju yang dibeli pada hari yang meragut kegembiraan dan senyuman Iman.
Aku masih ingat lagi, saat jenazah umi dan abi diturunkan ke liang lahad untuk dikebumikan, Iman memalingkan wajahnya ke arah lain. Iman membuang pandang ke arah langit pagi yang terbentang. Iman seolah-olah tidak mahu melihat keadaan itu, seolah-olah mahu lari daripada kenyataan.
Air mukanya ketika itu kosong, bagai kanvas yang tiada terpalit apa-apa warna, penuh dengan seribu satu rahsia dan persoalan yang tiada terungkai. Aku menangis dengan tangis yang tertahan-tahan. Ku pangku Iman erat. Mak Lang yang membantu memegang payung turut sebak dan menangis. Hujan yang turun renyai-renyai seakan-akan turut menangisi apa yang terjadi, seakan-akan memahami hati-hati yang dibuai hiba yang bertali arus.
________________________________
Catatan Hati Ahmad Zakuan
1 November 2006 / 9 Syawal 1427
Kelmarin aku pergi mencari Hadi, kawan sebilik ku di dua tahun terakhir. Mujurlah kebetulan tahun ini Hadi dan ibubapanya pulang beraya di rumah kakak iparnya di Temerloh. Aku tidak rapat sangat dengan Hadi namun kami tak pernah terputus hubungan.
Hadi ialah seorang yang lain dari yang lain. Walaupun di luar dia nampak sempoi seperti orang lain, namun persiapan agamanya tak mampu aku sangkal. Oleh itu aku cuba menghubunginya bertanya tentang keadaan Iman yang hampir buat aku buntu dan putus asa. Hadi suruh aku datang jumpa bapa saudara kakak iparnya, Ustaz Fauzi yang kebetulan seorang pegawai pengamal perubatan islam di Darul Syifa’.
Alhamdulillah, Ustaz Fauzi tidak keberatan untuk menolong ku. Janjinya untuk datang selepas jumaat.
Sekarang ini aku dan Kak Jannah pening dengan kedegilan Iman. Dia tak mahu kembali ke kampusnya sedangkan kuliahnya akan bermula semula Isnin. Jika tidak, aku dan Kak Jannah memang tidak keberatan untuk menyambung cuti kami. Iman berkata kami sengaja mahu memisahkan dia dengan umi dan abi. Katanya lagi kami sengaja mahu menjauhkan dia dengan abi dan umi. Ya Allah...sumpah! aku dan Kak Jannah tak pernah terfikir pun begitu. Iman satu-satunya adik kami, tak mungkin kami sanggup buat begitu.
Im...sampai bila Im nak terus macam ni? Ya Allah...aku pohon pulangkan kembali kepada kami Nurul Iman.
_________________________________
Catatan Hati Nurul Iman
2 November 2006 / 10 Syawal 1427<
Kak Jannah dan Abang An ajak aku pulang ke Kuala Lumpur bersama mereka lusa. Mereka cakap aku kena ke kelas, kuliah ku sudah mula. Mereka juga harus mula bekerja. Tapi...aku tak mahu ikut. Aku mahu berada di sini. Aku mahu temankan umi dan abi di sini. Aku tak mahu berjauhan daripada mereka. Aku mahu selalu bersama mereka.
Aku tahu! Aku tahu! Kak Jannah dan Abang An sengaja mahu jauhkan aku daripada umi dan abi! Aku tahu mereka sengaja mahu pisahkan aku dengan abi dan umi. Aku tahu mereka memang sengaja merancang begitu. Aku tahu mereka yang merancang semua itu. Mereka yang merancang semua itu!
Tadi aku pergi jumpa umi dan abi tapi mereka tarik aku pulang. Meronta-ronta aku bergelut minta dilepaskan. Kak Jannah dan Abang An kurung aku dalam bilik. Umi...abi... (teresak-esak aku menangis seorang diri di kamar)
_________________________________
Catatan Hati Nurul Jannah
2 November 2006 / 10 Syawal 1427
Ya Allah...apa patut aku lakukan? Mati akal aku dan A’an memikirkan hal Im. Tiap kali memikirkan keadaan Im tiap kali itulah air mata ku akan tumpah tanpa dipinta. Kali ini kami terpaksa kurung Im di dalam biliknya dengan tingkap dan pintu yang terkunci rapat.
Im buat hal lagi.
Petang tadi aku dan A’an ajak Im ikut kami pulang ke Kuala Lumpur. Kuliahnya juga akan bermula semula. Tapi, sungguh aku tak duga Im akan anggap kami sengaja mahu pisahkan dia daripada abi dan umi. Saat mendengar kata-katanya di perkuburan benar-benar meruntun hati ku. Tambah hiba bila melihat tangannya yang erat memeluk batu nisan abi dan umi. Luruh air mata aku dan A’an.
"Umi! Abi! Kak Jannah dan Abang An nak bawa Im pergi Kuala Lumpur. Kak Jannah dan Abang An nak jauhkan Im dari abi dan umi. Diaorang nak pisahkan Im dengan abi dan umi. Diaorang sengaja rancang semua tu. Im tak mahu! Im tak mahu ikut! Abi..umi...selamatkanlah Im."
"Lepaskan Im, lepaskan! Im kata lepas! Im tahu akak dan abang sengaja mahu jauhkan dan pisahkan Im dengan abi dan umi kan? Im tak mahu ikut! Im tak mahu pergi!". "Lepaskan Im! Kenapa akak dan abang buat Im macam ni? Apa salah Im? Apa dosa Im?"
Aku dan A’an menangis kekesalan. Raung ku sudah tak tertahan. Aku benar-benar rasa terhukum. Agaknya inilah luahan hati Iman sebenarnya terhadap kami selama ini yang cuba dia sorok. Im, maafkan akak...akak yang salah, janganlah hukum akak begini...akak tak sanggup Im...akak tak sanggup...
Tadi aku sudah berbincang dengan A’an. Kami berdua benar-benar sudah habis ikhtiar. Kami juga sudah rujuk hal Iman kepada tok imam. Tapi Iman tetap begitu. Harapan kami hanya pada Hadi dan Ustaz Fauzi esok. Semoga Iman kembali pulih...semoga Iman kembali ke pangkuan kami semula. Ya Allah, walauapa pun yang berlaku, Iman tetap adik ku...Iman tetap darah daging ku...tentukanlah yang terbaik untuknya dunia dan akhirat...ameen.
________________________________
Catatan hati Nurul Iman
3 November 2006 / 11 Syawal 1427
Perbualan bersama Ustaz Fauzi masih terngiang-ngiang ditelinga ku.
"Nurul Iman sayangkan Umi dan Abi?" Aku mengangguk tenang. "Nurul Iman juga pasti mahukan mereka tenang dan tersenyum sebagaimana Nurul Iman ketemu mereka pada malam mimpi itu kan?" Aku mengangguk lagi kali ini diiringi juraian air mata yang bergenang daripada tubir mataku.
"Masih ingat lagi rukun Iman yang keenam?" Suara Ustaz Fauzi masih lagi lembut dan tenang. Aku mengangkat wajah ku melihat Ustaz Fauzi bersama kerutan di dahi, tanda aku tidak faham. Kenapa dengan rukun Iman yang keenam?
"Beritahu Ustaz apakah rukun Iman yang keenam."
Aku menundukkan wajah mencari jawapan disebalik dinding-dinding memori ku. Baru aku tahu tujuan soalan itu ditujukan. Tubir mataku terasa hangat kembali.
"Adakah Nurul Iman beriman dengannya?"
Air mata ku tak mampu dibendung lagi. Esak tangis ku tertahan-tahan. "Tapi Ustaz semuanya tiba-tiba. Iman dah tak ada sesiapa lagi. Iman hanya ada Umi dan Abi. Iman hanya ada mereka." Air mata ku semakin laju.
"ALLAH tidak akan menguji sesuatu yang diluar kemampuan hamba-NYA. DIA adalah Sang Pencipta. DIA lebih tahu Iman berbanding Iman sendiri. DIA kenal setiap inci hamba-NYA. Menangis tidak apa...rindu itu tanda kita cintakan mereka. Ingatan tu jangan diusir sebab hanya tu yang Iman ada. Hanya tu saja yang berharga yang tinggal. Tetapi meratapi kesedihan yang berterusan itu yang mesti dielak dan dibuang. Ustaz tahu Iman sedih. Ustaz tahu Iman menanggung lebih daripada yang Ustaz lihat. Tetapi adakah itu pengakhiran hidup ini? Adakah itu penghujungnya?"
Aku tidak mencelah apa-apa. Aku terasa seolah-olah baru bernafas. Aku terasa seolah-olah baru tersedar daripada mimpi yang merasuk hidupku. Ya Allah...Umi...Abi.. Tangisan ku bertambah deras.
"Ustaz...saya..saya.."
"Tak apa. Menangislah sepuasnya hari ini dan kembali esok sebagai Nurul Iman yang dulu. Tetapi terimalah qada dan qadar DIA. Percayalah, DIA sayangkan Nurul Iman sebagaimana DIA sayangkan Umi dan Abi Nurul Iman. Cuma caranya sahaja berbeza. DIA sayangkan mereka dengan memanggil mereka kembali ke dakapan-NYA. DIA sayangkan Nurul Iman dengan menguji Iman dengan memanggil mereka yang Iman sayang kembali pada DIA. DIA hanya ingin lihat, sejauh mana Iman beriman dengan-NYA."
Ya ALLAH...aku berdosa dengan-MU. Ampunkan aku...maafkan aku..
________________________________
Catatan Hati Ahmad Zakuan
4 November 2006 / 12 Syawal 1427<
Alhamdulillah. Iman semakin pulih. Ustaz Fauzi ada memberi air penawar, pesannya campurkan didalam air mandi Iman tiap kali selepas Asar selama tiga hari berturut-turut. Tapi katanya, Iman pulih kerana kekuatan dirinya sendiri. Semalam Iman juga sudah mula mahu berbual. Walaupun tidak serancak dahulu, tapi aku kira ini adalah permulaan yang sangat positif untuk dirinya. Setiap bicara aku juga sudah mahu dijawab. Senyuman Iman juga makin terserlah.
Aku sujud syukur saat melihat perubahan Iman. Janji ku pada diri ku, aku tidak akan ulangi kesilapan dahulu. Aku tidak akan abaikan Iman sepertimana dulu. Aku tidak mahu lagi dihurung penyesalan yang tak kesudahan. Aku tidak mahu lagi mendengar rintihan sedih Iman terhadap kami. Luahannya pada Ustaz Fauzi sudah cukup membuktikan betapa aku dan Kak Jannah mengabaikan Iman selama ini. Abang minta maaf Im...
________________________________
Catatan Hati Nurul Jannah
5 November 2006 / 13 Syawal 1427
Iman sudah bersetuju untuk mengikut aku dan A’an kembali ke Kuala Lumpur dan meneruskan pengajiannya seperti biasa. Walaupun sudah lewat dua hari, itu lebih baik daripada meninggalkannya langsung. Saat Iman memohon maaf pada ku dan A’an akan ketelanjurannya sepanjang tempoh pemergiaan Umi dan Abi, aku mendakapnya erat. Hiba.
"Im tak salah sayang...Im tak salah. It is okay. Kak Jannah dan Abang A’an yang patut minta maaf. Im dah kembali begini, akak dah syukur. Akak minta maaf...akak minta maaf."
Rintihan Iman pada Ustaz Fauzi menyedarkan aku dan A’an, kami memang terlalu mengabaikan perasaannya selama ini sehinggakan dia tidak merasa kami ada untuk dia. Sehinggakan dia tidak merasa kepunyaan hubungan adik beradik dengan kami.
"Jangan ulangi lagi perbuatan dahulu. Adik beradik kekal adik beradik. Iman hanya ada kamu".
Air mataku mengalir lagi. Terima kasih Ustaz...terima kasih..
________________________________
Catatan Hati Nurul Iman
5 November 2006 / 13 Syawal 1427
"Beri peluang pada mereka Iman. Yang lepas biarkan berlalu. Setiap orang berhak untuk peluang itu. Mereka sayangkan Iman. Berilah mereka peluang untuk buktikannya."
Air mata ku mengalir lagi.
Ya ALLAH...ampunkanlah dosa ku..
Dosa Umi dan Abi ku..
Dosa kakak dan abang ku..
Dosa saudara-saudara ku..
Dosa kaum kerabat ku..
Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi ku..
Sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi ku..
Lapangkanlah kubur Umi dan Abi ku..
Peliharalah kami semua daripada siksa kubur MU..
Peliharalah kami semua daripada siksa api neraka MU..
Ya ALLAH..
Andai ini adalah sujud terakhir ku..
Biarlah kembalinya aku kepada MU dalam keadaan beriman..
Biarlah kembalinya aku kepada MU dalam redha MU..
________________________________
Catatan Hati Nurul Jannah
6 November 2006 / 14 Syawal 1427
Esak tangis ku kedengaran lagi saat melihat A’an membantu menurunkan jenazah Iman ke liang lahad yang bersebelahan pusara Umi dan Abi. Nurul Iman sudah pergi dijemput Ilahi. Pergi meninggalkan aku dan A’an. Pergi tanpa sempat aku dan A’an menebus kesilapan kami. Iman pergi sebelum sempat aku dan A’an mengotakan janji kami pada diri kami sendiri. Aku terasa terhukum sendiri. Terkilan mengenangkan sikap aku sendiri.
Orang ramai sudah beransur pulang. Saudara-saudara ku juga sudah beransur pergi. Aku masih di sini. Menundukkan wajah merenung sayu pusara Iman. Aku beralih memandang pusara Umi dan Abi. Tangisan ku mula tersedu-sedu.
"Shh... Sudahlah tu kak. Jangan begini. Biar Iman pergi dengan tenang." A’an memeluk bahuku. Dia cuba menyabarkan aku sedang air matanya turut mengalir jatuh.
Jam 5.50 pagi tadi semasa aku mahu mengejutkan Iman untuk Subuh, ku lihat Iman sedang sujud mengadap Yang Esa. Mungkin Iman bangun jam 5 tadi. Jam 6.10 pagi, niat ku untuk mengajak Iman berjemaah bersama A’an terbantut apabila ku lihat dia masih dalam keadaan sujud. Sangka ku, Iman sedang solat Subuh. Tak apalah. Selesai solat, ku lihat dibalik pintu Iman masih sujud. Entah kenapa hati ku berdebar-debar. Aku laung nama A’an dengan cemas dan minta dia lihat. Perlahan-lahan A’an sentuh belakang Iman dengan niat ingin mengejutkannya.
Tiba-tiba Iman rebah diriba A’an. Air mata ku sudah semakin laju. Tak mungkin! Aku mencari denyutan nadinya. Tiada tindak balas. A’an ku lihat sudah pucat.
"Iman!!!!!!" Raungan ku memecah kesunyian pagi.
A’an mencempung Iman ke kereta. Sepanjang perjalanan ke hospital, aku tak sudah-sudah beristigfar.
Gelengan wajah Dr. Imran menyambung air mata ku yang baru sahaja berhenti. Tersentak aku melihat A’an menumbuk dinding hospital. Air mata ku kian laju
"Dia milik ALLAH. Mereka milik ALLAH." Bisikan A’an menyedarkan aku. Bias cahaya matahari yang makin terbenam seolah-olah mengalirkan kekuatan ke dalam diri ku. Tidak kami sangka ini adalah Syawal terakhir kami dengan Nurul Iman. Semoga damai di sana Abi..Umi..dan Iman..
********************
Jemput komen ^^
No comments:
Post a Comment