Shuib membisukan diri. Diam menekur lantai. Dia tahu dia yang bersalah. Kalaulah dia pulang ke rumah awal semalam... Kalaulah dia tidak perlu oncall semalam... Apa guna ber’kalau-kalau’ lagi...hanya membuka ruang hati kepada bisikan syaitan. Nasi sudah pun menjadi bubur. Yang penting dia harus mencari Hannah.
Puan Suwaibah yang memangku Aisyah juga mendiamkan diri. Dia sendiri tidak tahu apa yang patut dilakukan. Dia kecewa dengan Shuib. Malu dengan menantunya. Malu dengan besannya. Surat Hannah ditangan diserahkan kepada suaminya. Encik Kamarul juga mendiamkan diri. Merah padam mukanya menahan marah. Kecewanya melangit. Mana mahu diletak muka depan besannya? Budi yang dihulur dibalas tuba.
“Abi tak tahulah nak cakap apa Shuib. Anak abi ni belajar sampai luar negara. Tapi kenapa la cetek sangat pegangan kamu? Benar, salah abi dan umi sebab memaksa kamu terima perkahwinan ni. Tapi kalau betul kamu dah tak suka sangat, beritahu kami. Sebagaimana kami ambil Hannah daripada ibubapanya dengan baik, biar kami pulangkan kembali dengan cara yang baik juga.”
Puan Suwaibah sudah berlinang air mata. “Tak apalah Shuib. Ni semua salah umi dan abi. Sekarang terpulanglah pada kamu. Shuib pilihlah jalan Shuib sendiri. Selesaikan dengan baik. Cuma....” Air matanya Puan Suwaibah mengalir lagi. Hatinya hancur.
“Cuma kami terkilan. Kami kecewa. Tergamak Shuib layan isteri Shuib macam tu. Tergamak Shuib rendahkan martabat dia sebagai isteri? Mana pegangan kamu? Kamu beri ‘gaji’ upah mengasuh Aisyah tiap-tiap bulan kepada Hannah, kamu nafikan kedudukan dia di sisi kamu. Mana agama kamu Shuib?!” Encik Kamarul sudah melenting. “Setahun Shuib....setahun. Bukan sebulan...bukan 3 bulan. Isteri mana yang tak terasa? Kamu perkenalkan Hannah kepada orang sekeliling kamu sebagai pengasuh Aisyah, isteri mana yang tak terluka?!”
Air mata Shuib mengalir perlahan. Dia sedar kesalahannya. Dia sanggup ditengking. Dia sanggup menanggung segala cercaan. Biarlah. Dia akui kesilapannya. Dia ceritakan semua kesalahannya kerana dia ingin berterus terang. Dia tidak mahu ada yang menyalahkan Hannah. Hannah bukan lari daripadanya. Hannah bukan isteri yang nusyuz. Tapi dia suami yang dayus. Hannah keluar untuk membela maruah diri yang tidak dipedulikan.
“Salah abi...tak cukup agaknya didikan agama kami selama ni pada kamu.” Tersentak Shuib mendengarnya. Seraya dia memaut tangan Encik Kamarul dan menciumnya.
“Abi...jangan cakap macam tu. Tak, ini semua salah Ib. Salah Ib sendiri.”
“Kamu lepaskanlah Hannah. Cukuplah Ib. Jangan dera emosi dia lagi.” Pinta Puan Suwaibah dalam esakan yang tertahan-tahan. “Ni semua salah umi. Kalau bukan umi yang paksa kamu kahwin dulu, kalau bukan umi yang pujuk dia terima pinangan umi, Hannah tak perlu lalui kepahitan ni.”
Shuib sudah sebak. Dia tak rela lepaskan Hannah. Jiwanya sudah dipenuhi kasih sayang wanita itu. “Ib tak boleh lepaskan dia umi. Ib tau Ib salah. Ib tau dah terlambat. Tapi bagilah Ib peluang untuk betulkan perkahwinan ni. Ib sayang dia umi...Ib sayang dia.”
Encik Kamarul hanya mendiamkan diri. Bungkam. Puan Suwaibah terus berlalu ke bilik membawa cucunya bersama. “Ib dah matang. Buatlah keputusan sendiri. Selesaikan ikut cara sendiri. Sementara ni Aisyah biar umi yang jaga.”
***********************************
Hannah hanya tunduk bersama air mata yang bergenang. Tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan mamanya. Puan Halimatun buntu. Dia sendiri tidak tahu apa yang berlaku.
Petang itu Hannah sampai bersama beg pakaian ditangan. Tanpa Shuib. Tanpa si kecil Aisyah. Hati tuanya sudah terasa bagaikan ada yang tidak kena. Saat bersalaman Puan Halimatun terpandangkan mata Hannah yang kemerahan. Saat berpelukan kedengaran tangisan halus Hannah. Anaknya itu teresak-esak. Puas dipujuk, bertanya apa yang berlaku tapi Hannah hanya mendiamkan diri. Katanya perkahwinan ini tidak mampu dipujuk lagi.
“Hannah cuba beritahu pada mama. Kenapa? Cerita pada mama. Jangan bagi mama dan keluarga salah faham.”
Hannah hanya menggelengkan kepala. “Hannah minta satu sahaja ma. Terima apa yang berlaku pada perkahwinan Hannah ni seadanya. Jangan hukum baik Hannah mahupun abang. Puncanya cukuplah Hannah dan abang sahaja yang tahu.”
Air mata Puan Halimatun mengalir. Dia sendiri tidak faham apa sebenarnya yang berlaku. Tapi daripada mata Hannah, sebagai ibu dia tahu. Hannah terluka. Cuma yang menjadi persoalan dibenaknya, apa yang menyebabkan Hannah terluka?
“Hannah, jangan terburu-buru begini. Bertikam lidah bertegang urat tu adat berumahtangga. Kalau ada apa-apa, bincang elok-elok dengan Shuib. Jangan mengelak sebegini. Ni, Shuib tahu tak Hannah ke rumah mama?”
Hannah hanya menggelengkan kepala. Puan Halimatun mengucap panjang. “Hannah tau kan hukum isteri keluar rumah tanpa kebenaran suaminya?”
“Hannah minta maaf ma. Hannah minta maaf.” Hannah sudah teresak-esak. Air matanya semakin galak dipipi. Puan Halimatun buntu.
***************************************
Hannah berbaring merenung putaran kipas di siling rumah. Telefon bimbit di meja solek berlagu sedih. Hazami – Mungkir Bahagia. Air mata Hannah mengalir lagi untuk kesekian kalinya. Hatinya merintih pada cintanya yang tidak kesampaian. Apakan daya... Bukan tidak ada misscalled daripada suaminya. Banyak. Tapi dia bimbang. Dia sudah tidak sanggup berhadapan dengan sesuatu yang dia tidak pasti.
Lagu pada telefon bimbit bertukar nada. Hannah menjengah malas. Abang Faris! Serta-merta debar didada hadir. Hannah gusar. Perlukah diangkat? ‘Mesti mama ada cerita apa-apa pada abang Faris ni.’ Telefon bimbitnya berbunyi lagi buat kali kedua. Dengan lafaz Bismilllah dan doa dihati, Hannah menekan butang hijau.
“Assalamualaikum...” Hannah menyahut dengan salam.
“Wa’alaikumsalam.”
“Ye abang. Ada apa malam-malam telefon Hannah ni?” Hannah mengawal suara. Moga ianya kedengaran positif.
“Saja la...rindu. Tak boleh ke abang nak call? Hannah sihat?”
Hannah tersenyum. “Boleh aje nak call. Hannah sihat je. “
“Hati Hannah pula macam mana? Sihat? Ke mulut je sihat?”
Hannah terdiam. Double meaning. Apa yang perlu dia balas?
“Hannah...terus-terang dengan abang. Apa yang berlaku? Jangan bagi kami semua susah hati. Kasihankan mama.”
Air mata Hannah yang baru sahaja berhenti mengalir kembali. “Abang janganlah risau. Hannah okey.”
“Itu tak menjawab soalan abang, Hannah. Abang dengan mama taknak salah faham pada Hannah. Jadi Hannah kenalah tolong kami juga. Leraikan persoalan kami. Apa yang berlaku? Kenapa sampai jadi macam ni?”
“Apa yang berlaku dan kenapa ianya berlaku, biarlah antara Hannah dan abang Shuib sahaja. Hannah tak mahu buka kisah rumahtangga Hannah. Cuma Hannah minta sangat pada abang dan mama, agar jangan menyebelahkan mana-mana pihak baik Hannah mahupun abang Shuib. Hannah minta terima perpisahan kami seadanya. Hannah tak mahu perkara ni meleraikan persahabatan abang dan abang Shuib. Hannah minta maaf perkara ni berlaku. Tapi inilah hakikatnya bang. Tak apa. Hannah redha.”
“Hannah...perkahwinan Hannah baru setahun. Tak sayang ke? Tak mahu cuba dahulu?”
“Kalaulah Hannah mampu bang... kalaulah perkahwinan ni milik Hannah....” Hannah sudah teresak-esak.
Rasa tanggungjawab terhadap Hannah selepas pemergian ayahanda mereka membuatkan Faris sudah tidak senang duduk. Mendengar esakan adiknya membuatkan dia resah. Dia tahu ada sesuatu yang berlaku. Tapi dia tidak mahu memaksa Hannah. Dia juga tidak mahu bersoaljawab dengan Shuib. Campur tangan pihak luar selalunya akan memburukkan keadaan. Selagi keadaan tidak memaksa, biarlah dia dan mamanya bertindak sebagai pemerhati.
“Tak apalah sayang. Hannah rehatlah. Jangan fikir banyak-banyak. Berhenti menangis. Mama cakap Hannah asyik menangis je.”
“Thanks abang.”
“Its okay. Tapi kalau ada apa-apa nak kongsi, abang ada. Ingat, jangan simpan lama-lama. Nanti jadi racun.”
Hannah tersenyum. Tangisannya sudah beransur tenang. “Terima kasih abang.”
“Okey Hannah. Jaga diri. Assalamualaikum.”
Hannah menjawab salam dengan perasaan lega. Dia berbaring tenang. Tak apalah dia kecundang dalam perkahwinan ini. Dia masih ada mama dan abang Faris. Perlahan-lahan dia lena dengan harapan semoga esok lebih bersinar untuknya.
**************************************
Puan Halimatun bingung. Awal-awal pagi lagi menantunya muncul. Muncul bertanyakan Hannah. ‘Pening aku dengan budak dua orang ni. Apa yang jadi sebenarnya ni?’ Tidak mahu mengeruhkan keadaan, Puan Halimatun mengajak Shuib masuk tanpa sesi soal siasat dan terus memanggil Hannah.
Hannah pula sedari tadi menguncikan diri di dalam bilik. Puas menantunya memujuk. Puan Halimatun membiarkan sahaja. Biarlah mereka selesaikan sendiri. Dia tidak mahu sibuk bertanya.
“Sayang, tolonglah. Buka pintu ni. Abang tau abang salah. Kita bincang, please sayang...” Shuib buntu. Hannah tidak mahu bertemu dengannya. “Hannah, ada perkara yang abang nak beritahu Hannah. Abang tau abang dah terlambat. Tapi abang minta bagi abang satu lagi peluang.” Shuib terus mengetuk pintu bilik Hannah.
“Kalau Hannah tak mahu buka pintu ni, takpe. Abang cakap kat sini je. Abang beritahu semuanya kat sini. Biar mama dengar.” Hannah masih berdegil.
Shuib menyandarkan badannya pada pintu bilik. ‘Biarlah mama dengar...lagipun mama perlu tahu.’
“Abang tahu banyak salah abang pada Hannah. Abang tahu setahun tu bukan tempoh yang sekejap. Abang tahu perbuatan abang mencalar hati Hannah. Abang minta maaf. Abang tahu abang tak patut menafikan kedudukan Hannah. Abang perkenalkan Hannah sebagai pengasuh Aisyah pada rakan-rakan abang. Abang perlekehkan maruah Hannah dengan duit gaji mengasuh Aisyah. Abang tahu abang bersalah. Tapi masa tu arwah kak Alina baru sangat pergi. Perkahwinan ni menyebabkan abang rasa seperti abang mengkhianati kak Alina. Kuburnya masih merah tetapi tempatnya sudah berganti. Tapi dalam 2 – 3 bulan ni, hati abang semakin subur dengan kehadiran Hannah. Abang tau dah terlalu lewat, tapi berilah abang peluang.”
Disebalik pintu sana, Hannah sudah teresak-esak. Perlukah diberi ruang pada peluang yang diminta? Adakah jaminan bahawa dia takkan diperkotak-katikkan untuk kali yang kedua?
“Abang ingat nak bagi Hannah kejutan pada hari ulangtahun kita. Tapi rupanya abang yang terkejut. Abang memang nak balik hari tu sayang, tapi malam tu abang terpaksa oncall gantikan tempat kawan abang. Abang tak beritahu Hannah sebab abang ingat perkara tu biasa je. Oncall tu kan rutin pekerjaan abang. Abang dah mohon cuti satu minggu untuk kita berdua. Betul sayang...abang tak tipu.”
Tiada respon daripada Hannah. “Tak apalah kalau Hannah masih marahkan abang. Abang terima. Tapi satu yang abang nak Hannah tahu. Abang takkan lepaskan Hannah. Abang takkan lepaskan Hannah. Hannah dah masuk dalam hati abang. Abang takkan benarkan Hannah keluar lagi.”
Shuib melangkah menuju ruang tamu. Puan Halimatun yang terdengar pujukan Shuib sedari tadi terkedu. ‘Inikah yang cuba disorokkan Hannah daripadanya? Kenapa Hannah tega menyimpannya sendiri dan membiarkan dirinya dipalit salah faham tetangga?’
Shuib yang melihat mata ibu mertuanya yang berkaca melutut. Tangan tua itu diraih dan dicium. Dalam sebak dia membuat pengakuan. “Semua yang mama dengar tu adalah benar. Apa yang berlaku adalah salah saya. Hannah bukan isteri yang nusyuz...keluar tanpa keizinan saya. Tetapi Hannah keluar mencari harga diri seorang isteri yang saya nafikan. Saya minta maaf. Saya tau, maaf ini takkan mampu menghentikan air mata mama yang mengalir. Tapi saya mohon ma...saya mohon peluang kedua. Tolonglah...”
Air mata Puan Halimatun memecah benteng. “Mama tak pernah sangka ini kisah rumahtangga Hannah yang sebenar. Yang cuba dia sorokkan. Puas mama bertanya, tapi Hannah langsung tak bersuara. Setahun dia sorokkan...tapi mama tak pernah perasan. Dia pertahankan kamu. Dia minta kami jangan salahkan sesiapa. Dia minta kami terima seadanya. Ya Allah... kenapa jadi macam ni. Apa salah anak mama Shuib?”
“Saya minta maaf ma. Tolonglah...jangan buang saya. Saya minta sangat satu lagi peluang. Saya sayangkan Hannah. Saya tahu saya dah terlewat. Tapi cinta saya kali ni benar. Tolong jangan minta saya lepaskan Hannah. Saya tak boleh ma...saya tak boleh.” Air mata Shuib sendiri sudah tidak dapat dibendung. Kekesalan yang tiada kesudahan.
Puan Halimatun hanya menggelengkan kepala. Pada sinar mata menantunya dilihat ada cinta. Tapi cukuplah...dia tidak mahu lagi memaksa Hannah. Jika Shuib kesal, dia seribu kali lebih kesal kerana memaksa Hannah menerima perkahwinan itu dahulu.
“Bukan mama tidak mahu membantu. Tetapi kali ini mama mahu Hannah membuat keputusannya sendiri. Biar Hannah tentukan bahagianya. Mama percayakan Shuib, tapi mama juga sayangkan Hannah. Terpulanglah pada Shuib dan Hannah. Mama hanya mahu dia bahagia.”
“Terima kasih ma. Hannah masih marahkan saya. Tak apalah. Saya pulang dulu, esok saya datang semula.” Shuib meminta diri.
“Eh, Shuib tidur dimana malam nanti? Aisyah mana?”
“Saya carilah hotel murah mana-mana ma. Aisyah ada dengan umi. Umi jagakan sementara saya selesaikan perkara ni.”
“Kamukan menantu mama. Kenapa nak tidur di hotel. Rumah ni pun ada bilik kosong. Shuib tidur sinilah. Lebih dekat dengan Hannah.”
Shuib tersenyum. Lembutnya hati ibu mertuanya. “Tak apalah ma. Saya tak mahu memaksa Hannah. Biar dia lapang tanpa saya.” “Minta diri dulu ma.”
*************************************
Hannah keluar daripada persembunyiannya. Perbualan antara mamanya dan Shuib membuatkan dia dalam dilema. Tambah-tambah apabila mendengar pengakuan Shuib pada mamanya. Hannah duduk perlahan disofa dengan bermacam persoalan di kepala.
Puan Halimatun yang melangkah masuk usai mengiringi pemergian menantunya turut mengambil tempat di sebelah Hannah. Perlahan dia memeluk Hannah erat dan mengucup dahi anak perempuannya. “Mama minta maaf. Mama minta maaf kerana mama kamu terpaksa melalui semua ni.”
“Tak ma. Jangan salahkan diri mama. Ini bukan salah sesiapa. Bukan juga salah abang. Memang ianya telah tertulis untuk Hannah. Ini semua diluar caturan kita mama. DIA yang berkuasa.”
“Sekarang ni Hannah ambillah masa Hannah sendiri. Bahagia Hannah, masa depan Hannah, mama serahkan untuk Hannah pilih sendiri. Putih kata Hannah mama terima, hitam kata Hannah pun mama terima.”
“Thanks ma. Ma, boleh tak Hannah nak minta tolong sesuatu?”
Puan Halimatun sekadar mengangkat kening, menghantar isyarat ‘Tolong apa?’.
“Boleh tak mama tolong Hannah rahsiakan apa yang mama dengar tadi daripada abang Faris? Hannah tak mahu mereka pula bertelagah. Mama tahu jelah abang Faris tu macam mana kan...”
Puan Halimatun hanya tersenyum dan menganggukkan kepala. Dia tahu, dalam hati Hannah ada cinta. Cinta yang bukan sedikit. Jika tidak masakan Hannah tidak sudah-sudah mempertahankan suaminya. Cinta itu dalam, tetapi luka yang terpalit membuatkan Hannah mendiamkan sahaja cinta itu. Moga ada ruang bahagia untuk anaknya...
*******************************
Hannah hanya membatukan diri disebalik pintu yang terkunci rapat. Suaminya tidak sudah-sudah memujuk. Masuk hari ni, ini sudah hari yang ketiga. Bukan dia bencikan suaminya, tapi Hannah bimbang cintanya akan memakan diri. Dia sendiri sudah tidak yakin pada rumahtangga ini.
Adakah suaminya memujuknya ikhlas? Atau sekadar hendak menunjukkan kepada mereka diluar sana bahawa dia adalah suami yang bertanggungjawab? Adakah hanya kerana ego seorang lelaki? Atau adakah hanya kerana mahu dia terus menjadi pengasuh Aisyah?
Hannah tidak mahu lagi dirinya diperendahkan. Mengurung diri dalam perkahwinan yang tiada masa depan. Dia juga punya impian sendiri. Biar sederhana, Hannah impikan perkahwinan yang menghargai dia sebagai isteri. Melahirkan zuriat untuk suami yang mengasihinya. Cinta sahaja tidak cukup. Buktinya sudah didepan mata. Bukan sekejap cintanya pada Shuib. 8 tahun memendam rasa. Tetapi setahun ini membuktikan segalanya. Adakah cintanya sahaja memadai? Adakah cintanya sahaja mampu membahagiakannya?
Hidup tidak semudah itu. Tidak sesempurna itu. Malah kerana cintalah Hannah bertekad mahu melepaskan ikatan ini. Setiap kali mendengar bicara sang suami dibalik pintu, Hannah pasti akan teresak-esak. Dia sayangkan Shuib. Malah cintanya menggunung. Jauh sekali membenci. Tetapi keyakinan dia sudah hilang. Dia bimbang untuk menyerahkan kasihnya sekali lagi. Apakah jaminan bahawa kisah itu tidak akan berulang?
Esakan Hannah makin ketara. ‘Ya Allah....aku sayangkan dia...’
*********************************
Sudah seminggu. Hannah langsung tidak mahu bercakap dengannya. Apatah lagi bertemu muka. Pujukan ibu mertua Shuib balas dengan senyuman hambar. Hambar kerana mengenangkan kesilapan diri sendiri.
“Tak apalah ma. Biarlah Hannah sendiri dahulu. Kekecewaannya bersebab. Salah saya.”
“Mama tau, dia masih sayangkan perkahwinan ini. Mungkin kerana dia takut untuk mencuba untuk kali kedua. Shuib sabarlah.”
“Tak apalah ma. Saya pun nak minta diri. Cuti saya seminggu dah habis. Nanti ada ruang lapang minggu depan saya datang lagi.”
“Shuib cubalah bawa Aisyah bersama. Manalah tahu kalau-kalau hati Hannah lembut.”
“Tak ma. Saya tak mahu Hannah fikir saya mahu kami bersama kerana Aisyah. Saya sayangkan dia bukan kerana Aisyah. Saya sayangkan dia kerana kasih sayang dia pada Aisyah dan rumahtangga kami. Biarlah dia ambil masanya mama.”
Puan Halimatun serba salah. Tapi tak ada apa yang mampu dia lakukan. Semuanya ditangan Hannah. “Shuib sabarlah.”
Shuib hanya tersenyum. Menghulur tangan dan mengucup kasih, “Saya minta diri dulu ma.”
Hannah yang mengintai dibalik pintu menghantar pemergian Shuib dengan linangan air mata. ‘Kenapalah hati ni degil sangat? Kenapa tak serik-serik lagi?’ Hannah marahkan dirinya yang terperangkah dalam perasaannya sendiri.
Puan Halimatun mendekati Hannah yang tenggelam dalam perasaannya sendiri. Hannah melangkah masuk ke dalam bilik dan merebahkan diri pada tilam empuk biliknya. Puan Halimatun hanya mengekori langkah Hannah dan melabuhkan duduk di birai katil.
“Salah Hannah ke ma? Hannah ni degil sangat ke ma?” Hannah bertanya bersama esakan yang tertahan-tahan.
“Hannah sayangkan Shuib? Hannah cintakan dia?” Soalan dijawab dengan soalan.
“Cinta Hannah pada dia tak pernah pudar ma. 8 tahun Hannah menganyam cinta Hannah sendiri. Tapi kenapa bila Hannah dah berputus asa baru cinta ni bersambut?” Hannah meluahkan rahsia hati. Sungguh dia tak sanggup lagi menyimpan isi hatinya.
“Kerana cinta itu tidak bersyarat. Dia datang bila tiba masanya, tanpa sebarang keadaan yang mewajibkan. Cinta Hannah baru bersambut kerana inilah masanya yang paling sesuai. DIA dah aturkan yang terbaik untuk Hannah. Ada sebabnya kenapa DIA tak izinkan cinta Hannah bersambut sebelum ini. Kita tak tahu masa depan kita Hannah.”
“Tapi ma...Hannah takut. Hannah dah tak kuat.”
“Cinta tu memang berisiko Hannah. Untuk bahagia, memang kita perlu berani mempertaruhkan hidup kita. Bahagi takkan datang semudah yang kita bayangkan. Mama berkahwin dengan arwah ayah tanpa cinta. Mama tak kenal pun dia. Tapi kerana mama mahu bahagia, mama sanggup. Mama risikokan cinta mama. Pahit manis tu memang ada, tetapi dengan apa yang mama ada hari ini, kenangan kasih sayang ayah yang tak bertepi, mama puas hati. Mama rasa berbaloi. Pertaruhan mama dahulu berbaloi. Kalau tidak, mungkin sampai bila-bila pun mama akan keseorangan. Takut menghadapi sesuatu yang tak pasti.”
“Tapi ma, tak sama. Hannah dah pernah cuba. Jadi untuk peluang yang kedua Hannah takut untuk mencuba.”
“Kalau tak hadapi, tak tahu lagikan kesudahannya macam mana?”
“Tapi ma, kalau kesudahannya sama?”
“Mama sendiri yang akan minta dia lepaskan Hannah.”
Hannah terdiam lama. Buntu bersulam rindu.
“Apa yang membelengu fikiran Hannah sebenarnya? Apa yang Hannah takutkan sebenarnya? Kongsi dengan mama.”
“Sebenarnya Hannah takut... Hannah takut abang mahu Hannah kembali hanya kerana Aisyah. Hanya kerana mahu Hannah terus mengasuh Aisyah dirumahnya. Bezanya cuma Hannah mempunyai lesen sebagai isterinya. Hannah takut hanya Hannah yang mencipta impian Hannah sendiri. Sedangkan dipihak abang itu semua adalah ilusi untuk Hannah.” Air mata Hannah sudah mengalir. Sensitif betul hatinya bila berbicara soal ini. Murah benar air mata ini mengalir.
“Tapi Hannah dengar sendiri kan pengakuan dia pada mama tadi.”
“Entah la ma. Hannah tak tahu.” Sungguh dia ragu. Bimbang tersilap langkah.
“Terpulang pada Hannah. Mama tahu Hannah sayangkan rumahtangga ini kan. Jangan biarkan kegusaran Hannah menghalang Hannah membina bahagia Hannah sendiri. Apa yang berlaku sekarang ini sebenarnya berhikmah. Ianya telah membuka jalan bahagia untuk Hannah. Hannah hanya perlu berani sahaja. Mungkin ianya takkan datang semula untuk kali yang kedua.”
“Mama mahu Hannah terima abang semula?”
“Mama mahu Hannah bahagia. Itu saja. Hannah fikir-fikirkanlah. Mama keluar dulu.”
*******************************
Hannah terintai-intai. ‘Mana abang ni? Minggu lepas tak datang. Minggu ni pun tak nampak. Taknak pujuk dah ke?’
Puan Halimatun hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dia tau Hannah rindu. Sebulan menantunya berulang ke sini, memujuk Hannah. Tapi anaknya begitulah. ‘Jual mahal. Lepas tu terjengah-jengah. Pantang dengar bunyi kereta.’
Pelik juga dia. Sudah dua minggu Shuib tidak menjenguk Hannah. Telefon juga tidak. Selalunya setiap hari Shuib akan menelefon bertanya khabar Hannah melaluinya. Telefon Hannah memang langsung tidak berangkat. Yang menggeletek hati Puan Halimatun ialah, setiap kali selesai menantunya menelefon, Hannah pasti akan datang menempel disisinya. Bertanya, “Abang cakap apa ma?” “Hai...itulah. Suruh bercakap sendiri tak mahu. Nanti Shuib tu jatuh cinta pada mama baru tahu.”
“Dahlah tu Hannah. Nanti karang Hannah ke mana, bawang ditangan tu ke mana. Pisau tu makan tuan nanti.” Puan Halimatun menegur. Kupas bawang sambil berangan. Nanti jari yang terkupas, bukan bawang.
“Ma...abang dah taknak pujuk Hannah lagi ke? Diam je.” Hannah sebak. ‘Cakap sayang. Tapi takkan dah putus asa.’
Puan Halimatun tertawa kecil. “Itulah. Jual mahal lagi. Kan dah rindu.”
“Mama ni... Hannah serius, mama mainkan Hannah pulak.”
“Dia oncall kot. Kan kerja dia tu memang macam tu. Nanti dia lapang, sampailah dia ke sini.”
“Tapi ma, call pun tak. Diam macam tu je.”
“Dia sibuk kot. Sabarlah. Ada lah kerjanya tu. Dah-dah. Nanti kalau dia call, mama bagi Hannah bercakap dengan dia. Hannah tu janganlah keras sangat. Kesian kawan tu. Dengan kerja tak menentu. Berulang-alik ke sini memujuk kamu. Jangan main tarik tali dengan suami macam tu.”
Hannah tersenyum. “Okey.” ‘Tak sabar nak tunggu abang call.’
****************************
Hannah merenung telefon bimbitnya. Sudah dua minggu suaminya itu mendiamkan diri. Selalunya setiap hari pasti ada mesej bertanya khabar meskipun dia tidak pernah membalasnya.
‘Hmm...abang ni diam je. Abang dah taknak pujuk Hannah ke?’ Hannah mengeluh sendiri. Terkelip-kelip memandang putaran kipas. Bosannya.
Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Cepat sahaja Hannah mencapainya. Excited!
‘Eh, nombor siapa ni?’ Pelik. Nombor asing. Tiada rekod dalam telefonnya.
“Hello.” Hannah memulakan.
“Assalamualaikum. Ni Hannah ye?” Pemanggil disebelah sana bersuara. Lelaki.
“Wa’alaikumsalam. Ye, kenapa? Siapa ni?” Hannah tertanya-tanya.
“Saya Haikal, kawan Shuib.” Lelaki itu memperkenalkan diri.
Hannah bertambah pelik. Mana kawan suaminya dapat nombor telefonnya? Apa mahunya telefon dia malam-malam begini? “Kenapa? Ada apa call saya?”.
“Maaf ganggu Hannah malam-malam begini. Saya ambil nombor telefon Hannah ni daripada Shuib. Sejujurnya, saya curi.” Jujur Haikal membuat pengakuan.
Hannah cuba bersangka baik. “Ada apa ye?”
“Saya cemburu bila mendapat tahu yang Hannah ni isteri Shuib. Patutlah setiap kali saya bertanyakan perihal awak pada dia, air mukanya berubah. Hannah jangan risau, saya menelefon bukan mahu menjadi duri dalam daging. Saya cuma risaukan sahabat saya tu. Saya tak mahu ambil tahu selain daripada tu.”
“Apa maksud awak?” Hannah memintas.
“Shuib ada cerita pada saya apa yang berlaku. Saya tak mahu komen yang itu. Sebab itu bukan hak saya. Cuma, saya nak khabarkan pada Hannah. Shuib dah 3 hari tak masuk kerja. Demam panas. Mungkin sebab terlalu penat. Seminggu dua ni dia asyik oncall nonstop. Sebab dia asyik excuse oncall sebulan yang lepas. Saya rasa Hannah tahu kenapa kan.”
‘Patutlah sudah dua minggu suaminya itu tidak menghantar sebarang khabar.’ Air mata Hannah sudah bergenang. Sungguh dia rasa bersalah.
“Saya rasa itu jelah. Saya beritahu Hannah sebab rasa tanggungjawab saya pada Shuib sebagai kawan. Selebihnya, terpulanglah. Saya minta diri dulu.”
“Terima kasih sebab beritahu saya.”
“Small matter. Assalamualaikum.” Haikal memutuskan panggilan.
Hannah sudah gelisah. Segera mendial nombor telefon si suami. Perasaan bersalah menerjah. ‘Kenapa lah aku ni selfish sangat? Abang....angkatlah cepat.’ Panggilannya tidak bersahut. Hannah mencari mamanya.
“Ma, Hannah nak ke Melaka esok.”
“Hah? Kenapa pulak ni? Takde angin takde ribut. Tiba-tiba je..” Puan Halimatun pelik.
“Hannah nak tengok abang. Abang demam panas. Dah tiga hari abang tak pergi kerja.” Hannah tak mampu menyembunyikan kebimbangannya. Buah hati! Manalah tak risau.
“Oh...Shuib call Hannah ya.”
“Tak. Kawan abang call Hannah beritahu. Boleh ya ma, Hannah pulang ke Melaka.”
Puan Halimatun hanya tersenyum dan mengangguk. “Itulah yang sebetulnya. Tempat Hannah memang disisinya. Nanti esok mama mintak tolong Pak Lang kamu hantarkan ke stesen bas.”
“Bas pagi tau ma!” Hannah melaung sambil melangkah pantas ke biliknya. Ingin mengemas pakaian.
“Tak nyempat-nyempat. Rindu la tu.” Puan Halimatun menyakat. ‘Hannah...Hannah...’
***********************************
Hannah menekan lagi loceng rumah berulang kali. ‘Ish, ada orang ke takde ni? Kereta abang ada je. Dah la pagar tak berkunci. Abang ni tidur mati ke?’ Hannah mengomel. Hampir 15 minit dia menunggu. Menekan loceng berulang kali. Tetapi tiada tanda pintu akan dibuka. Sunyi sahaja.
Hannah sudah berkira-kira mahu duduk dilantai jubin diluar. Lenguh kakinya berdiri. Baru sahaja hendak duduk, pintu rumah terbuka. Hannah berpaling. Tak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan suaminya.
Shuib tergamam. ‘Hannah!’ Tindakan refleks dia menarik Hannah dalam dakapannya. Rindu! Sungguh dia rindu! Hatinya terseksa.
Hannah kaku. Hanya mendiamkan diri. Tiba-tiba bahunya terasa basah. ‘Abang menangis?’ Sentuhan tubuh Shuib dirasakan panas. Shuib melepaskan pelukannya dan menarik dia masuk. Menjemput dia duduk.
“Sayang duduklah dulu. Sorry, rumah tak sempat nak kemas. Abang sibuk sangat.” Shuib mengemas ala kadar surat khabar yang bertaburan. Mug-mug yang sudah berapa hari terkumpul juga disatukan. Bekas-bekas cawan mee segera juga disatukan. Hannah hanya diam memerhati. Suaminya sudah susut. Tidak terurus. Hannah diserbu rasa bersalah.
“Sayang nak minum apa? Abang buatkan.”
Hannah hanya tersenyum. Suaminya kelihatan gelabah. Tak seperti orang demam. Saat suaminya hendak bangun, dia segera menahan. Meletakkan tangan didahi suaminya. Panas. “Abang demam kan? Dah berapa hari?”
Shuib hanya menggaru-garukan kepala. “Hm...entah. Dah hari keempat kot.”
“Kot? Dah empat hari ni. Abang tak makan ubat ke?”
“Ada juga makan. Tak larat sangat nak bangun. Semalam ada Haikal datang bawakan makanan untuk alas perut makan ubat.”
“Abang pergi mandi. Mandi lama-lama sikit. Hannah masak apa yang boleh. Lepas tu abang makan ubat dan rehat. Ni makan maggi, mana nak sihat.” Hannah menyindir.
Shuib hanya tersengeh. ‘Sindir-menyindir tu tandanya sayangkan?’
“Okey sayang. Sayang tak payah masak pun tak apa. Kita makan kat luar. Abang pun tak tahu apa yang ada dalam peti ais tu.”
“Tak apalah. Masak apa yang ada dulu. Badan abang panas ni, takkan nak keluar. Dah, pergilah mandi.”
“Okey sayang.” Shuib mengucup tangan Hannah dan berlalu ke bilik. Hannah hanya mendiamkan diri. Dia kekok sebenarnya. Tapi cuba berlagak seolah tiada apa-apa yang berlaku. Dia lebih risaukan keadaan suaminya itu.
*******************************
3 hari berlalu. Hannah terasa tidak betah lagi berlama-lama disitu. Terasa seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Sepanjang 3 hari keberadaannya, Shuib langsung tidak pernah menyebut perihal rumahtangga mereka. Hati kecilnya terasa. Melihatkan suaminya sudah sihat, Hannah ingin kembali ke kampung. Tidak mahu lagi bermuka tembok disitu.
Beg pakaian yang sudah siap dikemaas dipandang sayu. Apakah memang tiada ruang bahagia untuk cintanya? Hannah melangkah keluar bilik perlahan. Dijengah suami yang sibuk di dapur. Hannah tidak ke dapur usai solat Subuh tadi. Hanya termenung melayan perasaan didalam bilik. Mungkin suaminya mencari sesuatu untuk dimakan pagi itu.
“Abang...” Perlahan Hannah menegur.
“Hai sayang! Pagi ni abang...” suara ceria suaminya terhenti. “Sayang pakai cantik-cantik ni nak pergi mana?” Shuib sudah terasa ada yang tidak kena.
“Tak ke mana. Kembali ke tempat dimana sepatutnya Hannah berada.” Hannah hanya tunduk. Tidak mahu melihat wajah suaminya. Bimbang air matanya menceroboh keluar.
“Sayang, abang...”
Hannah berlalu sebelum sempat suaminya menghabiskan ayatnya. Menuju ke ruang tamu. Saat tangannya ingin menggapai beg dilantai, tubuhnya dirangkul erat daripada belakang. Kemas.
“Sayang, please... Jangan macam ni. Stay dengan abang. Abang minta maaf. Abang tak tahu nak pujuk sayang macam mana lagi. Tolonglah sayang...”
Hannah hanya membatukan diri. Lama. Hanya air mata yang bertindakbalas.
“Hannah benar-benar inginkan perpisahan?” Shuib bertanya. Dia buntu. Jika isterinya benar-benar sudah berpatah arang dengannya, apakah perlu lagi dia mengikat Hannah dengan perkahwinan itu?
Dalam sebak, Hannah memulangkan persoalan itu semula kepada Shuib. “Abang sendiri macam mana?”
Shuib memusingkan badan Hannah menghadapnya. Dia tahu luka Hannah terlalu dalam. Namun dia lebih terluka kerana membuatkan isterinya itu terluka kerananya. Hannah didudukkan perlahan pada sofa. Shuib melutut dan meraih tangan isteri tercinta.
“Abang tahu, sejuta maaf pun tak mampu untuk pulihkan kepercayaan Hannah pada abang. Abang tahu seribu keampunan pun tak mampu untuk pudarkan kekecewaan Hannah pada abang. Abang tak minta Hannah maafkan abang. Abang cuma mohon peluang kedua daripada Hannah. Beri abang peluang untuk buktikan yang abang benar-benar ikhlas dengan perkahwinan ini. Bukan kerana Aisyah. Bukan juga kerana umi mahupun mama. Tapi kerana Hannah sendiri.”
Hannah sudah teresak-esak. “Apakah ada jaminan peluang kedua ini takkan melukakan Hannah lagi?”
“Abang tiada jaminan untuk dibuktikan. Kalau Hannah benar-benar inginkan perpisahan, apa daya abang...” Nada suara Shuib sudah berubah.
Esakan Hannah kian menjadi-jadi. Tangisannya semakin jelas.
“Sayang...janganlah macam ni. Please... Janganlah menangis macam ni.” Shuib memujuk. Sebaliknya pada Hannah. Tangisannya makin ketara. Shuib sudah gelabah. Memeluk Hannah erat. “Yang... tolonglah jangan macam ni. Abang tak tahu nak buat macam mana ni.”
Hannah meraung perlahan dalam dakapan Shuib. Dada bidang itu dipukul-pukul. “Kenapa abang buat Hannah macam ni? Kenapa abang seksa Hannah macam ni?” Tangannya makin galak memukul.
Shuib hanya membiarkan. Perit tapi biarlah Hannah melepaskan segalanya yang terbuku. Luka isterinya itu bukan sedikit. “Ye sayang.. Abang salah. Abang minta maaf.” Dia rela menerima segala hukuman Hannah asalkan Hannah kembali semula padanya.
*************************
Shuib merenung wajah sembab Hannah yang sedang tidur. Lama Hannah menangis tadi. Sampai kepenatan dan tertidur. Basah baju Shuib. Namun dia bahagia. Hannah lena dalam rangkulannya. Dahi isteri dikucup kasih. Tangannya digenggam. ‘Ya Allah... ampunkanlah kelalaian ku. Bahagiakanlah kami.’
Hannah terasa kepalanya berat. Dilihat suaminya dihadapan. ‘Aik, kat mana ni?’ Mamai.
“Hannah kat mana ni abang?”
Shuib tergelak. “Kat rumahlah sayang. Mamai ek. Kat dalam bilik abang...eh bukan, bilik kita.”
Terasa merah mukanya mendengar ayat akhir Shuib. “Abang angkat Hannah ke? Hannah tertidur ke?”
Sekali lagi Shuib tergelak. Entah kenapa baru dia perasan isterinya ini sedikit lurus. ‘Dulu masa kenal dulu takde pulak macam ni.’ “Ye sayang. Takkan Hannah berjalan sendiri pulak. Hannah lapar tak? Abang masak nasik goreng tadi.” Shuib menunjukkan sepinggan nasi goreng ditangan.
“Sedap ke abang masak?” Lurus Hannah bertanya.
“Eh sayang, abang kat Rusia dulu masterchef dalam rumah sewa abang tau. Suka-suka aje nak mengutuk abang ek.” Shuib mencuit hidung Hannah. “Makanlah. Dah pukul 11 dah ni. Nanti perut tu masuk angin.”
“Abang tak makan?”
“Kita kongsi boleh?”
Hannah mengangguk. Berbunga hati Shuib. Usai makan, Hannah mengekor langkah Shuib ke dapur. Memerhatikan suaminya mengemas dapur.
“Sayang tunggu abang kat luarlah. Jangan tenung-tenung abang macam tu. Gugur jantung abang nanti.” Shuib tersengeh.
Hannah menguntum senyum. ‘Perasan je.’ Diatur langkah ke ruang tamu. Membelek bosan majalah kereta yang ada. ‘Apa lah beli majalah macam ni. Tak universal langsung.’ Tiba-tiba terasa pelukan erat suaminya.
“Adakah perkahwinan ini suatu paksaan untuk sayang?”
“Sejak berkenalan dengan abang 8 tahun lalu, tiada istilah paksaan untuk abang dalam hati Hannah.”
Shuib mencari wajah Hannah dengan riak tidak percaya. “8 tahun? Masa awal dulu kan? Tapi kenapa abang tak pernah tahu pun?”
“Sebab masa tu abang sudah ada Kak Alina. Hannah pula hanya adik abang. Lagipun memang tak ada yang tahu pun.”
Shuib terharu. Hatinya sebak. Setianya cinta Hannah padanya.”Terima kasih sayang. Terima kasih.” Dirapatkan wajahnya ke ubun-ubun Hannah. “Abang janji abang takkan sia-siakan Hannah. Abang janji.”
Hannah membalas rangkulan Shuib. “Abang, bila kita nak pergi ambil Aisyah dekat rumah umi?”
“Lepas kita honeymoon. Abang dah banyak sangat cuti dan MC. Jadi lambat sikit baru dapat cuti lagi. Jadi, kita honeymoon kat rumah dulu ye sayang. Tak apa, Aisyah faham. Umi pun mesti lagi faham.” Shuib sudah ketawa nakal.
Hannah mencubit sayang lengan sasa suaminya. ‘Double meaning betul.’ Pun begitu dia bersyukur. Kesabarannya tidak sia-sia. Benar, setiap daripada Allah itu adalah baik. Dan kini dia bahagia. Semoga salju cintanya terus hangat sehangat mentari pagi.
__________________________
Sambungan ni macam kosong sikit...ngeh ngeh ngeh
Jemput komen. tQ.
Jemput komen. tQ.
12 comments:
baca yg 1st kat p2u, then br cari epsd ke 2 dlm blog awak... okey..nice story... bergenang jugak air mata ni....huhuhu.. bile nak buat cerite lain pulak???
thanks jue. sebenarnya dah post dah episod 2 kat p2u tu, belum keluar lagi kot. cerita lain, bergantung pada masa free. ingat nak sambung lagi cerita ni. kerenah Hannah masa pregnant...biar pening pale laki dia
p/s: sebagaimana pening pale laki saye hakhak
p2u skrang lambat sgt update citer baru... jenuh jugak nak menuggu kan???
best cite ni..sambung la lg n lg..hehe ^^
tQ dewdrop. sedang cuba melawan arus kerja heee
baca 1st part kat p2u, trus cr blog ni nk baca sambungan..
best sgt, congrats 2 u n keep it up
PE PUN GOOD JO B.. DUA2 PUN OK .. SAYA SAMPAI MENETES AIR MATA... WAT LAGI CITER BYK2 EK...
tQ nabila & mayangsayang..
sedang cuba menyiapkan sambungan cerpen ni. tapi busy sangat2. tak sabar nak tunggu bulan april berlalu. btw, tQ banyak-banyak.
NZ, buatlah mini cerpen cite ni..best taw...wat cerpen2 lain lagi...suka sgt baca..
salam. NZ, best cerita ni. suka suka!
nnti update cepat2 ya sambungan dia.
:)
best citeni,sambungla lagi,.he2
Bila nak ada sambungan cerita ni?? huhuh tak sabar nak bae..
Post a Comment