Salju Cinta Hannah

Hannah melangkah masuk menurut langkah Shuib. Rumah teres setingkat itu kelihatan kemas dan tersusun dengan olahan perabot yang tidak keterlaluan. Ruang tamu juga terasa sejuk dengan pemilihan warna nude pearl.

“Duduklah. Ada perkara yang perlu kita bincangkan.” Hannah hanya mengangguk sambil memandang suaminya memangku si kecil Aisyah. “Aku rasa baik aku berterus terang saja. Aku tak suka dengan perkahwinan ni dan aku tak pernah setuju pun dengan perkahwinan ni. Aku pun tak tahu kenapa kau terima lamaran umi. Aku rasa kau sedar yang dalam keadaan Kak Alina baru ‘pergi’ dalam 5 bulan, tak mungkin aku akan setuju untuk perkahwinan ni. Aku teruskan perkahwinan ni sebab aku taknak berjauhan dengan Aisyah. Aku rasa kau faham kan.”

Tubir mata Hannah terasa panas. Dia sudah agak ada sesuatu yang tak kena daripada mula lagi. Sejak majlis akad nikah sampai la sekarang, Shuib tak pernah tersenyum padanya. Yang ada hanyalah wajah yang hambar dan endah tak endah. Malam pertama juga Shuib tidak menyahut sapaannya. Tetapi ketika itu dia cuba bersangka baik. Mungkin suaminya penat. Sayangnya pengakuan Shuib tadi menyangkal sangkaan baik Hannah. Benarlah firasatnya.

“Ibu Aisyah tetap Alina. Jadi aku tak suka kalau kau bahasakan diri kau ibu, umi atau mama dengan Aisyah nanti. Aku anggap kehadiran kau macam pengasuh untuk Aisyah. Itu saja. Tak lebih tak kurang. Upah gaji mengasuh Aisyah dan tolong menguruskan rumah ni aku akan beri tiap-tiap bulan. Segala keperluan Aisyah nanti kau beritahu aku. Kalau aku tak sempat nak beli, aku bagi duit je. Kau uruskan.”

Tersentak Hannah mendengar kata-kata Shuib. Dia merenung suaminya dihadapan. Tapi Shuib seolah-olah tiada perasaan bersalah. Begitu rendahkan dia di mata suaminya sendiri? Ya Allah...

“Bilik kau disebelah sana. Yang bilik tetamu tu. Aku nak masuk bilik, nak rehat dulu. Nanti lepas kau mandi dan sembahyang, tolong uruskan Aisyah. Malam-malam Aisyah akan tidur dengan aku kecuali kalau aku oncall. Tapi aku akan buka pintu bilik. Jadi kau boleh masuk kalau dengar Aisyah tersedar.” Hannah hanya memandang Shuib berlalu dengan air mata yang sudah berlinang. Mama....


********************************************

Hannah mengerling jam di dinding biliknya. Sudah jam 3.15 pagi. Hannah memandang Aisyah yang baru sahaja tidur dengan penuh kasih. Malam ini suaminya oncall, jadi si kecil ini tidur bersamanya. Suami? Heh...

Sudah 3 bulan. Tapi tiada apa yang berubah. Perkahwinan ni masih begini. Hannah mengeluh perlahan. Kali pertama Shuib menghulurkan duit ‘gaji’ sebagai pengasuh Aisyah, Hannah terpinga-pinga. Dia hampir terlupa. Apabila diberitahu itu adalah duit upahnya, hati Hannah hancur. Dia mengasuh Aisyah dengan ikhlas. Dia mengasuh Aisyah dengan penuh kasih sebagai isteri kepada Shuib biarpun suaminya tidak mengaku kehadirannya. Biarpun Shuib tidak mahu menerimanya, sekurang-kurangnya hormat dan jagalah air mukanya. Betapa terhina dirinya setiap kali menerima duit upah dari suaminya sendiri. Begitu murahkan dia dimata suaminya sendiri? Tidak bernilai langsungkah?

Buat masa ini Hannah masih memilih untuk bersabar. Biarpun hidup ini tidak seindah novel, namun Hannah percaya setiap kesabaran akan membuahkan kemanisan. Lama mana pun, dia sanggup tunggu selagi termampu. Dia yakin doanya agar Shuib menerima dia setulus hati akan termakbul. Cuma sama ada lambat atau cepat sahaja. Dia yakin itu.

Hannah akui, cintanya pada Shuib masih seperti dulu. Shuib sahabat baik abangnya, Faris. Dia menyimpan perasaan pada jejaka itu sejak dia berumur 16 tahun. Sangkanya itu hanya cinta monyet remaja. Tetapi rupanya tidak. Perasaan itu semakin subur seiring dengan waktu. Tambahan pula dahulu dia dan Shuib memang selalu berhubung. Tetapi ketika itu dia sedar, layanan Shuib kepadanya hanya layanan abang-adik sahaja. Tidak lebih. Ketika dia mengetahui kehadiran arwah Kak Alina dalam hidup jejaka tersebut, Hannah terus menjauhkan diri. Dia tidak mahu bermain dengan api. Dia tidak mahu menyiksa diri biarpun perasaan ini memakan dirinya sendiri.

Saat menerima lamaran daripada umi, Hannah serba-salah. Benar dia cintakan Shuib. Tapi Shuib sendiri bagaimana? Tegarkah dia menerima perkahwinan ini sedangkan isteri tercinta baru 5 bulan dijemput Ilahi? Pujukan mama membuatkan dia mengalah. Kata mama, sekurang-kurangnya kasihanilah si kecil itu. Anggaplah sebagai membantu si kecil itu membesar. Anggaplah sebagai membantu Shuib menguruskan si kecil, daripada membiarkan si kecil itu jauh daripada bapanya sendiri. Kata mama, cinta akan datang kemudian. Hm...benar, mama tak pernah tahu rahsia hatinya. Rahsia yang akan kekal menjadi rahsia.

Hannah merebahkan diri disisi Aisyah. Sambil memejam mata dia berdoa semoga perkahwinan ini ada keberkatannya.


*****************************************************

“Aisyah duduk elok-elok ye. Acik nak sudahkan masak jap. Kejap lagi ayah Aisyah nak balik.” Hannah mengucup lembut pipi Aisyah yang baru selesai dimandi dan dipakaikan. Geram Hannah pada pipi gebu si kecil tu. Melayan keletah Aisyah saban hari membuatkan kasihnya pada anak itu kian menggunung. Hannah tersenyum. Alangkah bahagianya jika anak kecil ini boleh memanggilnya mama. Tapi sayang, itu cuma mimpi kosong Hannah. Shuib tidak akan benarkan itu berlaku. Lagipun benar, dia bukan mama Aisyah. Dia tiada hak untuk itu.

Hannah berlalu ke dapur meninggalkan Aisyah yang sedang lena. Dia mahu menyiapkan kek puding buah khas untuk suaminya. Hari ini hari lahir Shuib. Biarpun Shuib tidak pernah hiraukannya, tak apalah. Dia tetap teruja untuk menyambutnya. Hari ini Hannah masak agak istimewa, tidak seperti menu biasa. Ikan siakap kukus, sotong cili panggang, sayur kailan goreng bersama ikan masin dan kerabu mangga. Dia tau menu itu agak banyak tapi tak apalah. Sekali-sekala sahaja.
Hannah mengerling jam di tangan. Sudah 6.45 petang. “Kejap lagi mesti abang balik”, tingkahnya. Tiba-tiba telinga Hannah menangkap bunyi deruan enjin kereta di laman. ‘Panjang umur’ Hannah tersenyum dan segera melangkah menyambut si suami di muka pintu. Seperti biasa, huluran tangan Hannah tidak pernah bersambut. Shuib terus menuju ke arah puterinya yang sedang lena, mengucup dahi dan pipi si kecil dan terus masuk ke bilik seperti selalu. Hannah tersenyum hambar mengiringi langkah suami dengan pandangan mata yang kabur. Dia cuba menutup rasa terkilan dihati. ‘Biarlah. Mungkin belum masanya lagi’.

Malam itu usai makan malam, sementara Shuib bermain dengan si kecil di ruang tamu, Aisyah mengeluarkan kek yang dihias cantik dengan buah peach dan strawberi bersama gelatin syrup. Diletak kek itu penuh hati-hati diatas dulang bersama fresh orange dan beberapa piring kecil. Kakinya melangkah perlahan ke ruang tamu dengan lafaz Bismillah.

“Selamat hari lahir abang Shuib.” Hannah tersenyum senang meletakkan kek dihadapan Shuib. Lesung pipit kiri dan kanan jelas kelihatan.

Shuib seperti terpinga-pinga. Terkejut mungkin. “Mana Hannah tahu?” soalnya.

“Mestilah Hannah tahu. Kalau tak tahu pun, kena ambil tahu.” Hannah tersenyum lagi. Dia memotong kek itu berhati-hati dan menghulurkan sepotong kepada Shuib. Shuib menyambut huluran Hannah tanpa suara. Menikmati kek yang dibuat tanpa sebarang perbualan. Hannah juga mendiamkan diri, menjamah kek dengan rasa lega dihati. Sekurang-kurangnya Shuib sudi juga merasa kek hasil tangannya.

“Abang Shuib nak lagi? Hannah potongkan.” Ramah Hannah bertanya bila melihat piring ditangan suaminya sudah kosong. Shuib hanya mengangguk sambil menghulurkan piring, tanda mahukan sepotong lagi. Hannah menyambut senang.

Sementara menunggu Shuib menghabiskan keknya, Hannah mendukung Aisyah yang mula merenggek. Sudah mengantuk barangkali. Iyalah, jam pun sudah hampir pukul 10 malam. Tanpa membuang masa, Hannah membancuh susu dan menidurkan anak itu. Aisyah diletakkan di kamar Shuib. Apabila Hannah menjengah ke ruang tamu, Shuib sudah selesai menjamah keknya, menyambung menonton televisyen.

“Abang Shuib nak lagi?” Hannah bertanya. Dia berkira-kira mahu mengemas membawa piring-piring dan kek yang tinggal ke dapur semula. Shuib menggeleng perlahan. Hannah hanya mengangguk. “Sementara hari lahir ni, apa yang abang Shuib harapkan? Apa yang abang Shuib doakan sebagai hadiah hari lahir?” Hannah meringankan mulut berbual. Mengharapkan respon daripada suaminya.

“Tak ada apa. Hanya harapkan aku dan Aisyah hidup bahagia dan dimurahkan rezeki.”

Ringkas jawapan Shuib tetapi cukup mengguris hati Hannah. ‘Aku dan Aisyah? Dia dan Aisyah? Habis aku?’

Tangannya segera menyusun piring dan gelas ke dalam dulang. Wajahnya ditundukkan ke meja. Berpura-pura fokus ke tangannya yang bekerja. Dia ingin segera melangkah ke dapur. Dia tidak mahu Shuib melihat air matanya yang akan gugur bila-bila masa sahaja. “Ohh...tak apalah begitu. Esok abang Shuib nak bawa kek ni ke hospital? Hannah boleh letak dalam bekas.”

“Tak payahlah. Esok aku off.”

“Hm...ok.” Laju kaki Hannah menghala ke dapur tanpa mengangkat mukanya. Air matanya sudah melimpah. Esakannya tertahan-tahan. Selesai di dapur, Hannah segera masuk ke bilik. Melayan tangisnya yang sudah tidak mampu dibendung lagi.


**********************************

Pagi itu mata Hannah bengkak. Hannah sedar itu. Dia sedar suaminya merenungnya pelik semasa mereka duduk bersarapan. Tetapi diabaikan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Macam mana tak bengkak jika sepanjang malam dia menangis. Tidur pun berapa jam sahaja. Itupun berteman air mata.

“Hari ni Hannah nak mintak izin nak keluar boleh? Abang Shuib off kan?”

“Okey. Kita nak keluar pukul berapa?”

“Eh tak. Takpe. Hannah keluar sendiri je.”

Shuib memandang Hannah dengan kerutan didahi. “Kenapa? Kita keluar jelah sama-sama.”

“Takpelah. Hannah ingat nak keluar cari novel sekejap. Lepas tu ingat nak singgah rumah kawan kalau dia ada di rumah.”

Shuib pelik. ‘Kawan dia tak kerja ke? Hari ni kan hari Rabu.’ Malas bersoal-jawab, Shuib mengiyakan sahaja. “Okey. Aisyah biar aku jaga. Nak aku hantarkan tak?”

Hannah menjawab dengan gelengan kepala sambil meneruskan suapan bihun goreng.


***************************************

Hannah melabuhkan duduknya pada kerusi yang menghadap ke tasik yang terbentang. Dia mengeluh perlahan. Novel ditepi langsung tidak menarik hatinya untuk dibuka. Novel itu sekadar untuk dijadikan bukti bila dia pulang nanti. Hakikatnya, dia hanya mahu keluar daripada rumah itu. Mahu menenangkan diri.

Mengenangkan perbualannya dengan Shuib semalam membuatkan air mata Hannah mengalir kembali untuk ke sekian kalinya. Sudah 6 bulan. Tak berbekas langsungkah kehadirannya dalam hidup Shuib? Dalam 6 bulan itu, tak terusik langsungkah hati suaminya dengan layanan dan kasih yang diberikan?

Hannah sedar, dalam 6 bulan ini hidupnya mendatar sahaja. Tidak ada apa yang berubah. Apatah lagi gurau senda daripada suaminya. Tapi dia tidak putus-putus berdoa. Dia harapkan walaupun suaminya tidak boleh menerimanya lagi, tapi sekurang-kurangnya menghargai dia dalam rumahtangga mereka. Rupanya dia silap. Hanya dia yang syok sendiri.

Memang silapnya. Merindukan orang yang tidak sudi. Hannah tidak pernah menyalahkan Shuib atas apa yang berlaku. Ini soal hati. Baginya hati memang tidak boleh dipaksa-paksa. Bukan salah suaminya. Bukan salah sesiapa. Memang ini sudah tercatat dalam takdir hidupnya. Hannah pasrah. Dia hanya pengasuh Aisyah. Tidak lebih daripada itu.

Borang di tangan direnung.Saat melangkah ke pejabat agama tadi, Hannah yakin itu adalah jalan keluar untuk apa yang berlaku. Mungkin ianya kedengaran Hannah berfikir terlalu mudah dan sempit. Hakikatnya tidak. Dia sudah fikir masak-masak. Jawapan Shuib semalam sudah jelas. Bukan dia mahu mengalah awal, tetapi dia mahu berpijak pada bumi yang nyata. Dia tidak mahu terus mengikat Shuib dengan perkahwinan yang tidak direlakannya. Dia tidak mahu orang yang dicintainya terus menanggung dosa kerana mengabaikan perkahwinan mereka. Tak apalah. Biarlah dia mengalah. Demi cinta ini, biarlah dia mengalah.


***********************************************************

Puan Suwaibah merenung menantunya daripada jauh. Dia tahu, ada sesuatu yang tidak kena. Sejak akhir-akhir ini Hannah dilihat banyak mendiamkan diri dan hanya tersenyum bila pandangan mereka bertemu. Tapi senyuman itu bukan senyuman bahagia. Dia sedar ada kesedihan disebalik mata Hannah.

Shuib seperti biasa. Dia tahu Shuib tidak pernah melayan Hannah mesra. Setiap kali pulang, Shuib akan berbual dengan dia dan suaminya seperti Hannah tidak ada dikalangan mereka. Dia tahu Shuib tak suka dengan perkahwinan itu, tapi perkahwinan itu adalah untuk kebaikannya. Anaknya itu bekerja tidak menentu. Kadang-kala oncall. Siapa yang mahu menjaga Aisyah jika dia bekerja malam. Bila diugut mahu mengambil Aisyah duduk dengannya baru Shuib bersetuju.

Tetapi sekarang sudah lebih setengah tahun mereka berkahwin. Tidak terjentikkah hati Shuib untuk menerima kehadiran Hannah sebagai isterinya. Puan Suwaibah menggelengkan kepala. Dia mendekati Hannah yang sedang melihat Shuib dan Aisyah bermain bersama suaminya di taman.

“Hannah...” sapanya.

“Eh umi. Duduklah.” Hannah tersenyum.

Puan Suwaibah merenung Hannah. Tiba-tiba hati tuanya sebak. Menantunya sudah semakin kurus. Mukanya semakin cengkung.

“Kenapa ni umi? Ada apa-apa yang tak kena ke pada muka Hannah?” Hannah pelik bila dirinya direnung begitu.

Puan Suwaibah menggelengkan kepala. “Tak ada apa. Hannah dah makin kurus umi tengok.”

Hannah hanya tersenyum. “Yeke? Tak adalah umi. Hannah rasa biasa je. Kak Sya dengan Shahrul tak balik ke minggu ni?”

“Tak. Dua-dua sibuk. Dah lama tak balik. Samalah dengan si Shuib tu. Ni baru jenguk muka.”

“Nak buat macam mana umi. Doktor. Adatlah.”

“Hannah, umi nak tanya. Tapi jujur dengan umi, boleh?”

Hannah pelik. Dia mengerutkan dahi. “Tanyalah. Umi nak tanya Hannah apa?”

“Hannah dengan Shuib macam mana? Rumahtangga Hannah dengan Shuib macam mana?”

“Macam mana apa umi? Hannah dengan abang okey je. Tak ada apalah umi. Kenapa umi tanya macam tu?” Sebenarnya Hannah agak terkejut tapi dikawal riak mukanya dengan senyuman yang dibuat-buat.

Puan Suwaibah tahu senyuman yang diukir Hannah adalah senyuman terpaksa. “Jangan tipu umi. Umi tengok pun umi tahu. Kalau depan umi dengan abi pun dia boleh layan Hannah macam tu, apatah lagi bila jauh dari mata kami.”

Hannah menundukkan wajah. Memang dia sedar. Tidak ada apa yang boleh disorokkan daripada ibu mertuanya. Sesiapapun jika melihat keadaan dia dan Shuib boleh meneka aras hubungan mereka. Cuma dihadapan mamanya sahaja Shuib pandai berlakon. Itupun baru sekali mereka pulang ke rumah mama Hannah.

Puan Suwaibah meraih tangan Hannah. Wajah Hannah dipandang penuh kasih. “Umi minta maaf. Umi minta maaf atas sikap Shuib pada kamu. Kalau umi tak paksa Shuib untuk perkahwinan ni, Hannah tak perlu terluka begini. Umi minta maaf.”

Hannah terpempan. Ibu mertuanya meminta maaf padanya? Hannah menggelengkan kepala. Tangan Puan Suwaibah diusap perlahan. “Tak ada sebab umi perlu minta maaf pada Hannah. Tak perlu pun. Bukan salah umi. Juga bukan salah abang. Mungkin ini adalah perjalanan hidup Hannah yang telah ditentukan DIA. Hannah percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Hannah yakin. Hannah berpegang pada setiap yang dari ALLAH itu adalah baik. Pasti ada kebaikan disebalik semua ni.”

Puan Suwaibah memeluk menantunya erat. Sungguh dia rasa bersalah atas apa yang berlaku. Hannah masih tersenyum.

“Umi janganlah risau ye. Lagipun abang layan Hannah elok je.”

Puan Suwaibah mengangguk. Dalam hati dia berdoa semoga walau apapun yang berlaku, Hannah dikurniakan kegembiraan dan kebahagiaan.


*******************************

Shuib memerhatikan langkah Hannah demi langkah. Tangannya menggoncang-goncang permainan untuk Aisyah tetapi matanya tidak lepas memandang Hannah. Bukan dia tidak perasan, bahkan dia sedar. Sejak akhir-akhir ini Hannah banyak mendiamkan diri. Senyumannya juga hambar, tidak seperti dahulu. Pada mulanya dia tidak mengendahkan keadaan Hannah, sangkanya sekejap cuma. Mungkin ada sesuatu yang membelenggu fikiran Hannah. Tetapi apabila keadaan itu berlarutan, Shuib mula resah. Dia terasa seperti ada yang tidak kena.

Kadang-kadang dia cuba mengajak Hannah berbual, bertanyakan beberapa perkara. Tetapi Hannah hanya menjawab sepatah dua sahaja. Sebulan ini juga hatinya terasa kosong. Dia terasa seolah kehilangan bila Hannah mendiamkan diri dan mengelakkan diri darinya. Hatinya juga dipagut rasa cemburu bila sahabatnya Haikal kerap bertanyakan Hannah padanya.  Salah dirinya juga. Haikal tidak tahu Hannah itu isterinya. Sewaktu Hannah datang menunggunya di hospital untuk keluar membeli barangan keperluan Aisyah, dia mengenalkan Hannah sebagai pengasuh Aisyah. Masih terbayang raut wajah Hannah yang berubah ketika itu. Tetapi Hannah berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Sudahnya bila Haikal semakin kerap bertanyakan nombor telefon Hannah, dia ‘kepanasan’. Jika terserempak wajah ceria Haikal merenung Hannah bila mereka membeli keperluan Aisyah, dia akan cepat-cepat memberi alasan untuk pulang.

Adakah hatinya sudah terpaut dengan kehadiran Hannah? Adakah dia sudah jatuh cinta? Shuib meraup wajahnya sambil menggeleng-geleng. Arghh!!


****************************************


Hannah merenung borang tuntutan fasakh ditangan. Hanya 3 bulan sahaja lagi. Niatnya ingin menyelesaikan perkara ini pada hari ulangtahun perkahwinannya nanti. Jika pasangan lain menyambut hari ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama dengan penuh kegembiraan dan bercuti di sana sini, dia tidak berpeluang merasai semua itu. Apakan daya, perkahwinannya tidak semanis orang lain. Perkahwinan ini tiada rasa pada suaminya.

Suami? Hanya lagi 3 bulan sahaja. Sesudah itu, Shuib bukan lagi suaminya. Dan ketika itu, dia bukan lagi isteri kepada insan yang dicintainya. Sungguhpun begitu dia bersyukur. Bersyukur kerana diberi peluang menjadi isteri kepada jejaka impian sekian lama. Biarpun sekejap, biarpun laluannya gerhana, biarpun pengakhirannya begini, Hannah tetap bersyukur.

Hannah sudah merancang ingin pulang ke kampung menumpang teduh di rumah mama bila ikatan ini terlerai sementara mendapat kerja. Dia perlu belajar berdikari. Dia perlu belajar memulakan hidup sendiri. Belajar melindungi dirinya sendiri. Maklumlah, selesai pengajian, dia terus menerima lamaran daripada ibu mertuanya. Dahulu dia yakin dia ada Shuib untuk melindungi dia sebagai suami. Penghujungnya, keyakinan itu kian goyah. Dia sudah tidak mengharap apa-apa lagi. Biarlah. Dia yakin dia boleh berdiri sendiri.

Cuma apa yang dirisaukan adalah penerimaan mamanya. Mama tidak pernah tahu apa yang berlaku dalam rumahtangganya. Dia bimbang jika mama menyalahkan dia atas perpisahan ini. Dia bimbang jika mama tidak mahu menerimanya lagi. Bagaimana pula dengan abangnya, Faris? Hannah sendiri tidak pasti sama ada abang Faris akan menyebelahi dia ataupun Shuib. Mereka kan kawan baik. Sejujurnya Hannah tidak mengharapkan pembelaan daripada sesiapa pun hatta mamanya sendiri. Dia cuma mahu mereka menerima apa yang berlaku seadanya. Dia tidak mahu sesiapa pun menyalahkan Shuib. Dia redha. Apa yang berlaku memang telah tersurat untuk dia dan Shuib.

Hannah juga sudah mencarikan pengasuh yang sesuai untuk Aisyah. Lagipun Aisyah sudah pun berumur setahun lebih. Rasanya tidak ada masalah. Dia juga sudah beberapa kali membawa Aisyah bertemu Makcik Oni, bakal pengasuhnya. Rumahnya juga hanya selang 5 buah rumah sahaja dengan mereka. Shuib pun akhir-akhir ini sudah jarang oncall malam. Sungguhpun begitu dia sudah maklumkan kepada Makcik Oni hal itu. Bila Makcik Oni bertanyakan dirinya, ke mana dia mahu pergi, Hannah hanya tersenyum. Pada Makcik Oni, dia memperkenalkan dirinya sebagai adik sepupu Shuib. Dan dia hanya tolong jagakan Aisyah untuk sementara waktu sahaja, sementara dia belum mendapat sebarang kerja.

Hannah puas. Hannah tidak mahu sebarang penyesalan saat dia melangkah keluar meninggalkan rumah ini nanti. Segala persiapan sudah dilakukan dengan baik.


******************************************

Shuib memandu girang. Semalam hari ulangtahun perkahwinannya yang pertama dengan Hannah. Sepatutnya dia pulang semalam. Lagi pula dia sudah mengambil cuti seminggu. Ingin membuat kejutan untuk Hannah. Dia ingin membawa isterinya bercuti, memulakan lembaran baru dalam rumahtangga mereka. Tapi semalam salah seorang rakan sejawatnya meminta dia menggantikan tempatnya untuk oncall atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Shuib sudah tekad. Sudah tiba masanya dia melepaskan arwah Alina dalam hidupnya. Bukan bermakna dia mahu melupakan Alina. Alina tetap dihati. Itu takkan berubah. Cuma sekarang ini suri hatinya adalah Hannah; isteri yang sekian lama diabaikan. Entah bila hatinya dicuri Hannah dia sendiri tidak sedar. Tapi dia yakin perasaan itu semakin lama semakin jelas. Shuib tersenyum. Terbayang wajah lembut Hannah di mata.

Shuib hairan, salamnya tidak bersambut. Selalunya Hannah akan membuka pintu untuknya bila mendengar dia pulang. ‘Hannah mandi kot. Tak sedar’. Shuib menjengah ke bilik Hannah. Kosong. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang. Dia menjengah kamarnya sendiri. Juga kosong. Aisyah juga tidak kelihatan. Degupan jantungnya semakin laju. Hannah tidak pernah keluar tanpa memberitahunya hatta ingin ke kedai runcit sekali pun. Shuib dial nombor telefon Hannah. Tidak berjawab. ‘Takkanlah....ya Allah’.

Shuib terasa benteng matanya panas. Tiba –tiba dia terpandangkan meja kopi ditengah ruang tamu. ‘Ada sampul..’ Segera dicapai sampul tersebut dan dibuka. Shuib sudah tidak keruan saat melihat isi sampul surat tersebut. Borang tuntuan fasakh. Ya Allah...takkanlah. ‘Hannah, jangan buat abang macam ni.’ Surat yang terselit dibuka perlahan dengan tangan yang terketar-ketar.


Assalamualaikum..

Hannah tak tahu nak mulakan macam mana. Tapi Hannah rasa elok Hannah berterus-terang saja. Hannah tunggu abang balik semalam sebab Hannah tau abang tak oncall semalam. Tapi abang tak kunjung pulang. Jadi Hannah rasa keputusan Hannah ni memang tak silap.

Hannah tidak ada hadiah yang boleh diberikan untuk ulangtahun perkahwinan kita yang pertama. Hannah sedar, perkahwinan ini tidak ada rasa pada abang. Hanya borang yang disertakan itu lah yang boleh Hannah beri sebagai hadiah untuk abang. Bukan Hannah tidak suka kan perkahwinan ini. Tidak. Hannah sayangkan perkahwinan ini, tapi sayangnya perkahwinan ini menjerat abang. Hannah tidak mahu terus menyiksa jiwa abang dengan perasaan bersalah. Hannah tidak mahu orang yang Hannah sayang terus terbeban dengan perkahwinan yang tidak diinginkannya. Hannah mahu berpijak pada bumi yang nyata.

Duit ‘gaji’ sebagai pengasuh Aisyah, Hannah guna untuk buka akaun simpanan untuk Aisyah atas nama umi sebagai penjaga. Disini Hannah sertakan bersama buku akaun tersebut. Hannah tak usik walau satu sen pun duit ‘gaji’ tersebut. Semuanya untuk Aisyah. Hannah tak perlukannya. Kerana Hannah jaga Aisyah dengan kerelaan hati Hannah sendiri. Seperkara yang Hannah ingin abang tahu, sungguhpun abang bencikan perkahwinan ini...sungguhpun abang tidak suka kehadiran Hannah didalam hidup abang dan Aisyah, sekurang-kurangnya lindungilah air muka Hannah sebagai wanita. Jangan rendahkan Hannah sebegini.

Aisyah sudah Hannah carikan pengasuh yang baik untuknya. Hannah minta maaf kerana tidak meminta izin abang terlebih dahulu. Tapi ini untuk kebaikan abang dan juga Aisyah. Hannah sisipkan alamat dan nombor telefon Makcik Oni, pengasuh Aisyah disini. Hannah juga sudah maklumkan padanya keadaan waktu bekerja abang.

Hannah tidak pernah salahkan abang atas apa yang berlaku. Hannah faham. Soal hati dan perasaan tidak boleh dipaksa-paksa. Mungkin ini adalah perjalanan yang telah tersurat untuk perkahwinan kita. Hannah tidak pernah kesal. Malah Hannah bersyukur. Hannah berterima kasih pada DIA kerana memberi peluang pada Hannah untuk menjadi isteri kepada jejaka impian Hannah meskipun sekejap dan tidak sempurna.

Hannah ingat tadi sempat tunggu abang pulang. Hannah ingat ada kesempatan untuk Hannah bersalam dan mengucup tangan abang buat kali terakhir. Sebab kali terakhir dulu Hannah bersalam dengan abang adalah ketika hari ijab dan kabul kita. Tak apalah. Memang perkahwinan ini bukan milik Hannah. Cinta Hannah hanya diselaputi salju.

Semoga abang dan Aisyah hidup bahagia dan dimurahkan rezeki. Hannah sayang abang.


-Hannah-


Shuib terus terduduk. Air matanya mengalir laju. Ya Allah! Hannah!!!



--------------------------
cerpen ni ada sambungan... otw.
~ngee sedang bertabah merajinkan diri haha

3 comments:

dewdrop said...

hekk!sedihhh..huhu,tp best! ^^

Nz said...

tQ dewdwrop =)

sejujurnya saya lagi suka karya saya Syawal Terakhir. tapi masa tu saya pun tak tahu mana datang idea dan tak realize pun boleh menulis macam tu. dan respon untuk kisah Hannah juga mengharukan. apapun, terima kasih daun keladi. ~heee

n_endra said...

jadikan novel, ya..
bagus nian.
tapi kelak di novel jangan terlalu tega. tetap di jalur prikemanusiaan.